Wednesday, December 28, 2011

Kuatkan Hatiku.




Setiap pagi. Saat mata mula celik, aku mula memikirkan dunia. Kadang alpa mengucap syukur dan mengingati akhirat. Astaghfirullahalazim. Itu aku. Yang selalu lupa dan leka. Bukan semua. Harapnya. Aku yang jauh di perantauan, kini  menabahkan hati menyusuri sebuah perjalanan di bumi asing. Mereka yang pernah menjadi sahabat dan akan selalu menjadi teman sepanjang perjalanan ini.

Aku kagum dan bangga pada mereka yang Berjaya menggapai cita-cita yang mereka impikan selama ini di samping tidak alpa dengan hasutan dunia yang fatamorgana ini. Sedang aku? Masih merangkak menuju dan mencari tempat yang seharusnya aku pergi. Menjejak medan di mana harus aku tapaki. Aku punya azam. Di sini. Dalam lubuk hati yang tidak kelihatan oleh siapa pun.

Di  perantauan ini, dari suatu sudut, aku melihat mereka. Yang dulunya pernah hebat suatu ketika. Bicara tentang agama, pengetahuan dan kepakaran yang mereka pelajari dengan penuh gah. Bisa membisukan suara-suara manusia.

Tiba-tiba, mereka hilang. Hanya tinggal bayang. Dan debu yang mengekori. Aku hanya mampu memerhati dari kejauhan. Mereka, rupanya lumpuh di pertengahan. Ke mana menghilang? Di mana mencari? Tiadakah jalan untuk ketemu kejayaan itu? Perasaan ini, hampa dan sedih. Pada mereka yang dahulunya penuh dengan kobar dan semangat. Kini tidak lagi.

Bagaimana aku nanti? Adakah suatu masa nanti aku akan seperti mereka? Ketakutan pada diri. Lenyap hati, hilang jiwa dan mungkin roh ini sesat daripada Islam. Bagaimana aku seandainya itu yang tertulis dalam kitab takdir diri ini? Tidak. Aku tidak mahu itu terjadi. Aku masih mahu berada di sini. Untuk agama, keluarga, orang di sekeliling dan juga diriku sendiri.

Ya Rabb, izinkan aku menjauh dari takdir itu. Kerana aku tidak mahu selamanya roh ini tersesat. Tuhan Yang Maha Mendengar, Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui, Tegarkan jiwa ini untuk berada pada jalan-Mu untuk selamanya, Jangan biar diri ini tandus dimamah kekufuran, Menjauh dari-Mu, meminggir dari-Mu, Kuatkan hati ini wahai Tuhan, Kerana tiada siapa tahu kehidupan hamba-Mu ini nanti akhirnya melainkan hanya Engkau.